Tuesday, April 20, 2010

Hujan dalam Lirik

“Sekian lama aku tidak menulis di blog usang ini, sesekali terdetik juga rasa untuk menulis. Tapi aku bukan penulis hebat itu, yang sentiasa mampu menghiburkan para pembacanya..”

Salam Bloggers,

Hari ini aku nak kupas satu perkara yang tak pernah aku sentuh sejak pertama kali aku buka blog ni secara rasmi hampir 2 tahun yang lalu. Lirik.

Irama dan lagu tidak boleh dipisahkan, jikalau pisahkan, maka pincanglah lagu, rosaklah seni. Itu kata-kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem 'Antara 2 darjat', yang kemudian beliau terjemahkan dalam karya terhebat beliau 'Getaran Jiwa'. Hebat sangatkah lagu 'Getaran Jiwa' sampai tergetar lutut dan hati bila kita mendengarnya? Tiada apa yang mampu melahirkan rasa bangga dalam diri kita apabila lagu tempatan digubah semula oleh artis-artis asing. Dan perasaan itu hadir dalam diri aku apabila Lobo (American/International artist) mengubah semula lagu Allahyarham dan menamakan lagu tersebut “Whispers In the Wind”.

Kembali kepada fokus pertama tadi, secara analoginya, 'irama' bagi aku itu adalah sama seperti corak/motif sesebuah lukisan, 'lagu' itu pula adalah lukisan itu sendiri. Tanpa corak/motif tertentu, lukisan itu pasti amat sukar difahami dan dinilai, dan halnya disini sama seperti sebuah 'lagu'. Sempurnanya sesebuah lagu itu ialah apabila mesej yang cuba disampaikan dapat difahami oleh para pendengarnya. Ada sesetengah lagu yang dapat difahami terus menerusi hati (instrumental, tanpa lirik), dan ada sesetengah lagu yang dapat difahami dengan akal (ordinary song-writing, dengan lirik).

Sejak berzaman manusia telah mengaitkan objek-objek sekeliling untuk menjadi 'wakil persembahan' kehidupan mereka dalam sajak, lagu mahupun syair. Aku percaya, kalian semua acap kali terdengar perkataan 'burung', 'awan', 'bayu', 'muara', 'lautan', dalam lagu-lagu arus perdana mahupun indie. Dengan menggunakan perkataan-perkataan tersebut, secara tidak langsung 'menghidupkan' dan mengindahkan lagi karya mereka, agar kita sebagai pendengar dapat 'melihat' dan menghayati lakonan yang cuba dipaparkan dalam karya tersebut.

Okeh, harapan aku sekarang agar kalian semua faham serba sedikit apa itu lirik, dan apa fungsinya dalam sesebuah lagu. Sekarang, aku nak sentuh pula satu objek yang sering kita dengar dalam lagu-lagu tempatan mahupun lagu-lagu asing (lagu omputih ke, jepun ke, korea ke) – Hujan.

'Hujan' dalam sesebuah lagu, secara amnya, boleh membawa 2 maksud, bergantung kepada tema lagu tersebut. Ia boleh membawa maksud gembira (rahmat) mahupun sedih (kedukaan, air mata). Di sini aku senaraikan 6 lagu melayu yang aku petik secara rawak (yang aku tahu, dan rasa popular suatu ketika dahulu). Ayuh kita kupas sedikit maksud-maksud yang cuba disampaikan:


1) Demi Cinta Ini – Febian

Hujan oh hujan
Menyirami taman
Taman yang di dalam kekeringan oh oh
Begitu jua cintaku padamu
Hadirmu pengubat rinduku
Kan ku setia menanti
Demi cinta ini

*Hujan di sini membawa maksud 'rahmat'.


2) Hujan – Allahyarhan Sudirman Hj. Arshad

Cinta yang bersemi
Diwaktu hujan turun
Menyirami ketandusan hati
Dan hujan turut mengiringi
Engkau pergi...

*Hujan di sini membawa 2 maksud, 'rahmat' dan 'kedukaan'. Kadang-kadang, dalam kehidupan kita ini terdapat satu elemen yang mampu memberi kita seribu macam sokongan dan harapan, tetapi ada ketikanya, elemen tersebut juga yang memusnahkan harapan kita kelak. Sebagai contoh, cinta sesama manusia. Inilah yang dikatakan kehidupan.


3) Hujan Di Tengahari – Allahyarham Tan Sri P.Ramlee

Kusangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengahari

*Hujan disini juga membawa maksud 'kedukaan' – rahmat disini digambarkan sebagai 'panas' cuaca kering; amat berguna kepada makcik-makcik dan kakak-kakak yang hendak menyidai baju.


4) Kala Hujan – Zamani

Kekuatan sandaranku
Ku dirikan masa lalu
Luruh bagai dedaunan
Dikala hujan angin datang

*Hujan disini juga membawa maksud 'kedukaan'.


5) Hujan – Adibah Noor

Hujan membasahi bumi
melahirkan keluhuran budi
mengerat perpaduan suci
kasih sayang abadi

*Terang-terangan hujan disini membawa maksud 'rahmat'.


6) Gerimis Senja – Alleycats

Ku Terpegun Di Jendela Bila Hujan Gerimis Senja
Tak ku Lihat Di Hadapan ku Diri ku Dalam Lamunan
Tiada Lain Yang ku Bayangkan Hanyalah Peristiwa Itu
Dosa-dosa Yang ku Lakukan Tetap Mengganggu Batin

*Ini mungkin spesel kes sedikit. Mungkin ramai yang nampak hujan disini membawa maksud 'kedukaan', tapi bagi aku, maksud hujan di sini lebih kepada neutral berbanding 'rahmat' mahupun 'kedukaan'. Hujan di sini tidak ubah seperti watak sokongan untuk menghidupkan elemen 'terkenang'/kenangan. Aku selalu alami situasi ini, yakni apabila aku duduk seorang diri di bilik, pasti aku akan terkenang kampung halamanku (tak perlu aku sebut, kalian mesti dah tahu).

Itulah serba sedikit kupasan aku berkenaan peranan unsur 'Hujan' di dalam sesebuah lirik lagu. Aku sarankan kalian dengar balik ke enam-enam lagu yang aku senaraikan tadi dan hayati balik bait-bait liriknya - setujukah kalian dengan hujah-hujah aku sebentar tadi.

Entri kali ini aku tujukan khas pada seseorang yang jauh, yang tabah menjalani kehidupan pada atas kakinya sendiri tanpa memerlukan tongkat duniawi itu. Walaupun dirimu sering diuji dugaan yang bertimpa-timpa, bersabarlah kamu, semoga cepat sembuh, dan teruskan berkarya. Walaupun kita tidak pernah bertemu mahupun bertegur sapa, ketahuilah, bahawasanya aku ini sentiasa menyokong usaha senimu, dan akulah bayang-bayang 'hitam' itu yang selalu memerhati dan mendoakan kesejahteraanmu dalam mengejar CINTA dan CITA. Amin Ya Rabbal Alamin.

P/S: “Raindrops keep fallin' on my head” by B.J. Thomas. Anyone?



4 comments:

Wahida Jumaat said...
This comment has been removed by the author.
Wahida Jumaat said...

hujan..memang banyak membawa maksud...jika dulu ketika kanak-kanak..abah selalu cakap..

"cepat-cepat, ambik payung..dh hujan dah dalam rumah ni"

maksud hujan disini adalah ada salah seorang anaknya menangis.. ^.^

rindukan taiping bila tengok gambar lake garden....

Joy Kalonas said...

ingat pulak cerita yg dialognya berbunyi, "ani... angkat kain jemuran, hujan dah turun!"

orang2 taiping kalau tengok hujan, terutamanya hujan petang, mesti teringat taiping kan? pastu pernah dengar pokok 'hujan pukul 5'? haa, tu pon dinamakan sempena dgn nama hujan gak..

late respond, i know.. gomennasai, huhuhu..

Unknown said...

Hujan yang turun bagaikan air mata...iramanya sangat seni...

Related Posts with Thumbnails